Giving Back To The Community

Alhamdulillah, sempena Ramadhan kali ini, tempahan pavlova bertambah. Walaupun bukan tiap-tiap hari membuat pavlova, syukur rezeki tidak pernah putus. Ada juga tempahan pavlova yang saya tidak muatkan di blog ataupun di page FB memandangkan rupa pavlova semua sama. Sudah kehabisan idea bila nak ambil gambar tempahan pavlova. Sudah pelbagai angle kamera sebelum ini.
 
Di kediaman saya (Villawangsamas, Wangsa Maju), hall utama dijadikan surau sementara untuk menampung jemaah menunaikan solat tarawih. Surau sedia ada kecik untuk menampung jemaah yang ramai. Untuk tahun ini, ada tiga imam bertugas  bergilir mengimamkan solat. Yang paling best ialah tazkirah dan pengumuman dilakukan dlam dua bahasa, Bahasa Arab dan Bahasa Melayu. Sedap ajer mendengar tazkirah dalam bahasa Arab, terasa macam di Mekah dan Madinah pula.
 
Di bulan Ramadhan ini juga, kita umat Islam digalakkan bersedekah di bulan yang mulia. Ingin saya berkongsi sedikit cerita tentang  amalan sedekah. Hall utama di di Villawangsamas ini perlu disewa setiap kali digunakan. Kalau tak silap saya, dalam RM300 sehari semalam. Menurut  berita yang saya dengar, pihak pengurusan kondo, tidak membenarkan kami mengunakan hall tersebut melainkan dibayar sewa sepanjang sebulan. Semua niat yang baik, akan dipermudahkan Ilahi. Maka tampillah seorang hamba Allah ini mendermakan duitnya membayar sewa hall selama sebulan. MasyaAllah...  Kami tidak tahu siapa hamba Allah ini, memang tidak dimaklumkan siapa. Doa kami, semoga beliau dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, ketenangan hati,  kesihatan yang baik, kebahagian bersama keluarga tercinta di dunia dan akhirat. Amin.
 
Mengambil iktibar dari itu, berkat rezeki pavlova saya di bulan Ramadhan, maka saya membaking pavlova untuk disedekahkan kepada jemaah malam kemarin. Alhamdulillah, rezeki kawan-kawan dan jiran tetangga. Apalah sangat kan, pavlova saya jika dibandingkan dengan pengorbanan dan sedekah yang dibuat oleh hamba Allah yang saya ceritakan tadi. Saya juga mendapat info yang ada juga bakers  di tempat lain membuat perkara yang sama. Ada yang menghantar kek, ada yang hantar cupcakes, ada yang menghantar puding untuk berbuka puasa  dan moreh di surau.
 
Amirul, anak saya yang pertama seronok temankan saya menghantar pavlova serta membilang pingan kertas dan sudu untuk jemaah. Dia tanya lagi hari ni, 'Ibu bila kita nak sedekah lagi?' 'InsyaAllah, kita buat lagi, InsyaAllah....', jawab saya sambil tersenyum.
 
  
 

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright Triple Sprinkles 2014 - Designed by Krafty Palette|Sign in